KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan mengumumkan keputusan rayuan berhubung isu pemain warisan lewat malam ini, selepas keputusan yang dijangka keluar semalam, 30 Oktober, tidak dikeluarkan seperti dimaklumkan sebelum ini.
![]() |
| Isu Pemain Warisan, Keputusan rayuan FIFA diumum lewat malam ini – FAM |
Kelewatan itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan perdebatan, khususnya mengenai keabsahan tujuh pemain warisan Malaysia yang kini berdepan siasatan FIFA berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen.
Dalam perkembangan sama, media Argentina dilaporkan mendedahkan butiran sijil kelahiran datuk kepada pertahanan negara, Facundo Garces, yang kini beraksi bersama kelab Sepanyol, Deportivo Alaves.
Sijil itu dikatakan diperoleh portal Capital de Noticias daripada Arkib Negara Argentina dan memaparkan maklumat peribadi datuk Garces, Carlos Rogelio Fernandez, yang dilahirkan pada 29 Mei 1930.
Walaupun ketulenannya belum disahkan, dokumen berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak ASEAN.
Garces, yang cemerlang dalam dua penampilannya bersama Harimau Malaya sejak memperoleh kewarganegaraan, kini antara tujuh pemain warisan yang berdepan penggantungan 12 bulan dan denda oleh FIFA sekiranya didapati bersalah.
