Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Polis tumpaskan sindiket penyeludupan migran dalam operasi serbuan di Muar

MUAR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran selepas melakukan serbuan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Bukit Bakri di sini, awal pagi tadi.

Polis tumpaskan sindiket penyeludupan migran dalam operasi di Muar
Kenderaan dipercayai digunakan untuk menyeludup migran yang ditahan polis dalam Ops Pintas di Muar, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

Dalam operasi berkenaan, yang dikenali sebagai Ops Pintas dan dijalankan pada jam 1.28 pagi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah menahan seramai 15 individu, termasuk empat yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’, ejen serta penjaga rumah tumpangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata daripada jumlah yang ditahan itu, tiga merupakan migran wanita, dengan kesemuanya berusia lingkungan 21 hingga 39 tahun.

Menurut beliau, seorang daripada suspek dikenal pasti sebagai individu yang bertanggungjawab membawa migran, manakala tiga lagi bertindak sebagai ejen dan penjaga premis.

Ringkasan AI:
  • Polis serbu rumah tumpangan di Jalan Bukit Bakri, Muar.
  • Ops Pintas dijalankan pada jam 1.28 pagi.
  • 15 individu ditahan, termasuk tiga migran wanita.
  • Empat suspek berperanan sebagai ‘transporter’, ejen dan penjaga.
  • Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun.
  • Migran dipercayai masuk melalui laluan sempadan tidak sah.
  • Polis rampas telefon, wang tunai dan sebuah SUV.
  • Kes disiasat di bawah ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen.
  • Empat suspek utama direman 28 hari di bawah SOSMA.
  • Baki suspek direman 14 hari untuk siasatan lanjut.

“Keempat-empat suspek utama tersebut adalah warga asing. Siasatan awal mendapati migran berkenaan memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan selatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis turut merampas beberapa peranti komunikasi, sejumlah wang tunai, serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai digunakan untuk membawa migran ke kawasan penempatan sementara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Raiz Mukhliz memaklumkan bahawa empat suspek utama telah direman selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala selebihnya direman 14 hari di bawah Akta Imigresen bagi membantu siasatan lanjut. - BH Online.