HANOI: Selepas membadai Thailand sehingga meragut lebih 100 nyawa, Taufan Kalmaegi melanda tengah Vietnam pada malam tadi pula dengan membawa hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan kerosakan meluas, menurut portal media tempatan VNExpress, lapor Xinhua.
![]() |
| Ombak besar menghempas Pantai Quy Nhon di tengah Vietnam yang dibadai Taufan Kalmaegi. - FOTO AFP |
Taufan itu menumbangkan pokok, merosakkan bumbung dan memecahkan tingkap bangunan di beberapa kawasan.
Gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di beberapa wilayah yang menyaksikan ratusan ribu isi rumah terjejas.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan yang dilaporkan hilang di luar pesisir Pulau Ly Son di wilayah Quang Ngai, sedang dijalankan selepas kapal mereka terbalik akibat laut bergelora, menurut VNExpress.
Baca: Taufan Kalmaegi bunuh sekurang-kurangnya 58 orang di Filipina, menuju ke Vietnam
"Pasukan penyelamat menerima banyak panggilan kecemasan daripada penduduk yang melaporkan kejadian bumbung rumah runtuh dan banjir," kata pihak berkuasa tempatan sebagaimana dilaporkan BERNAMA-XINHUA
Bagaimanapun, angin kencang dilaporkan menghalang usaha tindak balas segera.
Sementara itu, AFP melaporkan Kementerian Alam Sekitar Vietnam berkata, Taufan Kalmaegi tiba dengan membawa angin kencang mencecah kelajuan 149 kilometer sejam.
Ia selepas badai taufan itu menyebabkan sekurang-kurang 140 mangsa terkorban, manakala 127 lagi dilaporkan hilang di Thailand yang ditenggelami banjir besar.
Semalam, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengisytiharkan darurat susulan kemusnahan akibat bencana alam dibawa Taufan Kalmaegi yang turut diberikan nama tempatan sebagai 'Tino.'
Anadolu Ajansi melaporkan keputusan itu dibuat ketika taklimat Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional, berdasarkan kenyataan rasmi daripada Pejabat Presiden.
Marcos berkata, pengisytiharan itu akan mempercepatkan usaha mencari dan menyelamat, bantuan serta pemulihan, selain membolehkan akses lebih pantas kepada dana kecemasan dan memperkemaskan proses perolehan.
"Disebabkan skala kawasan yang terjejas oleh Taufan Tino serta bakal terjejas oleh (Taufan) Uwan, terdapat cadangan daripada Majlis - yang saya luluskan - bahawa kita akan mengisytiharkan bencana negara," katanya sebagaimana dilaporkan BERNAMA-ANADOLU.
Beliau berkata, antara 10 hingga 12 wilayah dijangka terjejas oleh dua taufan itu, ketika Filipina turut bersiap sedia menghadapi Taufan Uwan.
Badai Taufan Kalmaegi antara lain telah merosakkan bumbung premis, menumbangkan pokok serta tiang elektrik, dan menyebabkan banjir besar.
Taufan kuat itu meninggalkan Thailand pada pagi semalam, namun masih membawa hujan di beberapa bahagian Luzon dan wilayah Mindanao, menurut agensi cuaca negara berkenaan.
Lebih 500,000 orang dipindahkan, dengan lebih 1.4 juta terjejas di Central Visayas, termasuk sebahagian wilayah Cebu.
Banjir besar dan tanah runtuh menyebabkan jalan raya di kawasan terpencil terputus, manakala beberapa perbandaran mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut pihak berkuasa.
Kemusnahan itu berlaku selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda Cebu pada 30 September lalu yang meragut banyak nyawa serta memaksa ribuan penduduk berpindah.
Menurut pihak berkuasa, usaha bantuan masih diteruskan sementara pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk sampai ke kawasan terpencil yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.
Taufan Kalmaegi melanda wilayah Visayas sebanyak dua kali pada awal Selasa lalu - pertama di Southern Leyte dan kemudian di Cebu. ꟷ BH Online
