Seorang bekas anggota tentera dihadapkan dengan dua pertuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini melibatkan mangsa remaja perempuan bawah umur di Bachok, Kelantan pada April lalu.
![]() |
| Bekas tentera mengaku tak bersalah, hadapi 2 pertuduhan rogol remaja di Bachok |
Tertuduh, Mohd Fakhrul Bazlie Mohamed Apandi yang berusia 41 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Fakhrul didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tujuh bulan pada 1 April lalu sekitar jam 9 malam di sebuah rumah di Kampung Kubang Golok, dekat Bachok.
Manakala berdasarkan pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merogol mangsa sama pada 12 April lalu dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari di lokasi yang sama, lapor Berita Harian.
Kedua-dua pertuduhan terhadap Mohd Fakhrul itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Difahamkan, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan manakala 8 Disember ini pula ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
