LANGKAWI: Sebuah bot dipercayai membawa kira-kira 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, Bangladesh dan etnik Rohingya dilaporkan pecah di perairan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, dengan enam mangsa ditemukan terselamat, manakala seorang wanita Myanmar disahkan meninggal dunia setakat ini.
![]() |
| Foto Hiasan: ANTARA pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dan Myanmar yang ditahan dalam Operasi Benteng di perairan laut Jeram. FOTO IHSAN PPM SELANGOR |
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata bot tersebut adalah sebahagian daripada sebuah kapal besar yang membawa sekitar 300 orang sebelum sindiket memecahkan kumpulan itu kepada tiga bot kecil ketika menghampiri sempadan perairan negara.
"Tiga hari lalu, ketika hampir tiba di sempadan, kumpulan berkenaan dipisahkan dan dipindahkan ke tiga bot kecil, setiap satu memuatkan lebih kurang 90 orang.
- Bot membawa 90 PATI dipercayai pecah dan karam di sempadan Malaysia-Thailand.
- Enam mangsa ditemukan selamat.
- Seorang wanita Rohingya disahkan meninggal dunia.
- Bot itu sebahagian daripada kapal besar berisi sekitar 300 orang.
- Sindiket memecahkan kumpulan kepada tiga bot kecil sebelum memasuki perairan negara.
- Dua lagi bot masih belum dikesan.
- Setiap individu bayar sekitar RM13,000 kepada sindiket.
- Operasi SAR dijalankan oleh Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.
"Salah satu bot dipercayai karam, manakala dua lagi masih gagal dikesan," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, enam mangsa yang diselamatkan terdiri daripada warga Myanmar termasuk etnik Rohingya serta seorang lelaki Bangladesh.
Beliau menjelaskan, tiga mangsa pertama yang ditemukan adalah lelaki warga Myanmar, manakala tiga lagi yang dijumpai petang tadi termasuk dua etnik Rohingya dan seorang warga Bangladesh.
"Turut ditemukan ialah mayat seorang wanita Rohingya yang hanyut di perairan tersebut," katanya.
Adzli berkata, setiap individu dipercayai membayar sekitar RM13,000 kepada sindiket bagi mendapatkan laluan masuk ke Malaysia.
"Kapal asal membawa 300 orang pelbagai latar belakang dari Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sejak sebulan lalu.
"Difahamkan setiap daripada mereka membayar kira-kira RM13,000, dan ada yang sanggup menjual tanah untuk menampung kos perjalanan ke sini," katanya.
Beliau menambah, siasatan lanjut sedang dilakukan berkaitan insiden berkenaan.
Dalam masa sama, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang digiatkan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Pasukan Polis Marin (PPM) bagi mengesan mangsa yang masih hilang termasuk dua bot yang belum ditemui.- BH Online
