PETALING JAYA: Bekas jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad tidak menyangka dirinya dipilih sebagai wakil Malaysia dan Asia pertama yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran World Bowls 2025.
![]() |
| Siti Zalina menerima penghargaan Hall of Fame pada majlis Makan Malam Gala dan Hall of Fame sempena Kejohanan Boling Padang Dunia 2025 di sebuah hotel di Petaling Jaya malam tadi. -- Foto BERNAMA |
Menurutnya, beliau berasa terharu apabila penghargaan itu diberikan atas pembabitannya dalam sukan boling padang selama lebih dua dekad, sebelum bersara daripada skuad kebangsaan pada 2023.
Pengiktirafan tersebut diberikan oleh World Bowls, badan antarabangsa yang menguruskan sukan itu.
- Siti Zalina menjadi wakil Malaysia dan Asia pertama tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran World Bowls 2025.
- Pengiktirafan berdasarkan sumbangan lebih 20 tahun dalam sukan boling padang.
- Beliau meraih emas perseorangan wanita di Sukan Komanwel 2002 dan 2006.
- Turut meraih gangsa perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia 2008.
- Berita pengiktirafan diketahui melalui media sosial sebelum e-mel rasmi diterima.
- Anugerah disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
- Siti Zalina masih aktif mewakili PDRM dan melatih pasukan luar.
- Lebih 20 legenda sukan turut menerima pengiktirafan sama.
"Saya mula tahu selepas ramai yang menghantar mesej peribadi mengucapkan tahniah sewaktu World Bowls umumkan perkara itu di media sosial bulan lepas.
"Saya sendiri semak laman web mereka kerana pada awalnya saya terdiam, sebab pengumuman dibuat di media sosial sebelum saya diberitahu secara rasmi.
Beberapa hari kemudian barulah saya menerima e-mel pengesahan daripada mereka," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam gala dan dewan kemasyhuran World Bowls di sini, malam ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Terengganu yang juga penaung diraja Bowls Malaysia, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden World Bowls, Brett O'Riley.
Pengiktirafan itu diberi susulan kejayaan gemilang Siti Zalina termasuk meraih pingat emas acara perseorangan wanita pada Sukan Komanwel Manchester 2002 dan Melbourne 2006, serta gangsa acara yang sama pada Kejohanan Dunia 2008.
Walaupun tidak lagi bersama skuad kebangsaan, anggota polis berusia 46 tahun itu berkata, beliau kekal aktif mewakili Polis Diraja Malaysia, melatih beberapa pasukan luar serta terlibat dalam program kebajikan bersama badan bukan kerajaan di ibu negara.
Selain beliau, World Bowls turut mengiktiraf lebih 20 pemain dan legenda lain, antaranya Ryan Bester (Kanada), Darren Burnett (Scotland), Lynsey Clarke (Australia), Jo Edwards (New Zealand) serta Robert Weale (Wales). - Bernama
