Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Cabul anak saudara, bapa tiga anak dipenjara 20 tahun, empat sebatan

SEREMBAN: Seorang bapa tiga anak dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang ketika itu berusia 14 tahun 10 bulan.

Cabul anak saudara
Gambar hiasan: Cabul anak saudara, bapa tiga anak dipenjara 20 tahun, empat sebatan

Hakim Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap pekerja kilang berusia 28 tahun itu, bagi kedua-dua pertuduhan.

“Mahkamah mendapati pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Justeru, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Matahari Indah, Senawang antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi pada 26 dan 27 Disember 2021.

Kesalahan kedua didakwa dilakukan di lokasi sama sekitar tengah hari pada 28 Disember 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan mengikut seksyen sama selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam rayuan, peguam Asmawi Ismail memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga, mempunyai isteri dan tiga anak kecil, selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, memohon hukuman berat dikenakan kerana tertuduh sepatutnya melindungi, bukannya mengambil kesempatan terhadap anak saudara sendiri.

“Kesalahan ini serius dan perlu dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan arahan hukuman berjalan berterusan.

“Mahkamah tidak boleh bertolak-ansur dalam kes serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak. Tertuduh sepatutnya melindungi mangsa, bukan melakukan jenayah kejam yang meninggalkan trauma,” tegas Surita.

Permohonan peguam untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak selepas mahkamah berpuas hati tiada keadaan khas membolehkan ia dipertimbangkan. - BHonline-