Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Kakak saksi didakwa gertak Zara Qairina: 'Kau ni ah, kalau aku touch kau ni, habis kau'

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak mengaku kakaknya pernah mengeluarkan kata-kata berbaur gertakan terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir berhubung satu surat menyindir saksi yang didakwa ditulis arwah bersama seorang lagi pelajar, akhir April lalu.

Zara Qairina

Saksi kanak-kanak ke-31 inkues kematian Zara Qairina itu memberitahu Mahkamah Koroner mengenai kata-kata kakaknya yang berbunyi: "Kau ni ah, kalau aku touch kau ni, habis kau".

Menceritakan semula keterangan saksi, pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham yang diketuai Shahlan Jufri berkata, kejadian berlaku di sebuah bilik asrama pada kira-kira jam 10 malam, ketika saksi berjumpa dengan Zara Qairina.

Katanya, kakak saksi ternampak dia bersama Zara Qairina dan rakannya serta beberapa pelajar senior lain di bilik itu ketika lalu di kawasan berkenaan dan bertanya apa yang berlaku.

"Setelah dimaklumkan, kakak saksi mengeluarkan kata-kata kepada Zara 'kau ni ah kalau aku touch kau ni habis kau'. Pelajar senior lain kemudian membawa pelajar senior itu keluar untuk menenangkannya.

"Ketika itu, saksi menyatakan dia nampak Zara kelihatan takut tetapi tidak menangis. Saksi berkata ayat itu cuma gertakan dan kakak saksi tiada menyentuh mana-mana pelajar junior."

Menurut saksi, maksud 'touch touch' itu adalah seperti 'dia macam akan pukul orang itu'," katanya selepas prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Saksi memberitahu mahkamah, Zara Qairina ketika itu datang berjumpanya untuk meminta maaf mengenai surat mengandungi kata-kata 'body shaming' terhadap rakan saksi.

Dalam surat itu, katanya ada kata-kata berbunyi 'sok-sok orku' yang bermaksud menyindir seseorang yang 'kuat perasan', namun saksi mengaku tidak tahu sama ada Zara Qairina yang menulis surat itu ketika dia meminta maaf.

Selain Zara Qairina, katanya saksi juga pasti surat itu turut ditulis bersama seorang pelajar junior lain.

"Ketika kejadian, saksi menyatakan melihat pelajar senior melewati bilik itu dan bertanya kepada saksi mengenai apa yang berlaku sebelum menerangkan surat itu dan tujuan Zara meminta maaf.

"Selepas itu, saksi menyatakan seorang pelajar senior berteriak memanggil pelajar junior lain yang dikaitkan dengan surat itu dan dia nampak pelajar senior menasihati Zara dan pelajar junior terbabit agar tidak mengulangi perbuatan itu," katanya.

Dalam keterangannya, saksi yang senior setahun berbanding Allahyarham, mengakui tahu arwah Zara Qairina ada menulis surat mengenainya dari rakan senior yang lain.

"Saksi menyatakan ada menjumpai surat itu tetapi tidak ingat apa isi kandungannya dan menjelaskan pada malam itu, keadaan pelajar senior itu 'ok saja' dengan Zara dan mereka tegur Zara secara baik.

"Tapi saksi juga bersetuju pada masa itu, ada sembilan pelajar senior Tingkatan Dua dan Empat dalam bilik bersama Zara dan seorang pelajar junior terbabit," katanya.

Selain itu, katanya, saksi mengaku tidak pernah mendengar Zara Qairina menyindir saksi dan tidak tahu mengenai tuduhan Allahyarham pernah menulis kata-kata ejekan kepada saksi.

Saksi juga, katanya, mengakui hubungannya dengan arwah Zara Qairina sebagai 'ok saja' selepas kejadian itu dan tersenyum kepada saksi apabila mereka berjumpa.

"Saksi juga bersetuju ada pelajar senior Tingkatan Dua yang tidak suka dengan Zara, tetapi saksi tidak tahu siapakah pelajar itu," katanya. - BH Online