Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Kebakaran brek pesawat Virgin Australia ketika mendarat di Lapangan Terbang Brisbane

SYDNEY – Brek sebuah pesawat terbakar sejurus mendarat di Lapangan Terbang Brisbane, Australia dengan 180 penumpang berada di dalamnya, lapor portal berita MailOnline semalam.

Kebakaran brek pesawat Virgin Australia ketika mendarat di Lapangan Terbang Brisbane
Anggota bomba memadamkan kebakaran brek dalam pesawat Virgin Australia apabila ia mendarat di Lapangan Terbang Brisbane pada Khamis. 

Brek pesawat tersebut mula terbakar sebaik sahaja penerbangan Virgin Australia 454 dari Darwin mendarat kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) semalam.

Sejumlah anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan api dengan cepat.

Penerbangan VA 454 dari Darwin, yang membawa 178 penumpang, telah mendarat sebelum jam 7 malam semalam ketika kebakaran bermula.

“Api berjaya dipadamkan dengan segera dan semua penumpang serta kru turun dari pesawat dengan selamat,” kata syarikat penerbangan Virgin Australia dalam satu kenyataan.

“Kami berterima kasih kepada kru kami dan pasukan bomba lapangan terbang atas tindakan pantas mereka. Keselamatan penumpang dan kru sentiasa menjadi keutamaan kami,” tambah kenyataan tersebut.

Tiada yang cedera dalam insiden itu, namun pesawat berkenaan dikeluarkan daripada jadual penerbangan untuk menjalani siasatan lanjut.

Lapangan Terbang Brisbane mengesahkan kepada akhbar Daily Mail bahawa tiada kelewatan, pembatalan atau gangguan operasi akibat insiden tersebut. – AGENSI