Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Doa seorang anak di hadapan Kaabah termakbul, Ibu akhirnya peluk Islam

Selama tujuh tahun, nama seorang ibu sentiasa disebut dalam setiap doa seorang anak. Di sejadah, dalam sujud paling lama, hingga di hadapan Kaabah — hanya satu permintaan dipanjatkan, agar Allah menghadiahkan hidayah kepada insan yang melahirkannya.

Muhammad Mikhael Sathayah bersama ibunya dan isteri (gambar kiri). Muhammad Mikhael Sathayah dan isteri menemani ibunya saat melafaz syahadah, baru-baru ini (gambar kanan). FOTO MyMetro

Hari itu akhirnya tiba buat Muhammad Mikhael Sathayah, 41, apabila ibunya, Maimunah Sathayah Muniandy, 75, terbuka hati kembali kepada fitrah, melafazkan syahadah dengan penuh sebak dalam suasana yang tenang dan menggetarkan hati.

Ringkasan AI:
  • Muhammad Mikhael berdoa selama tujuh tahun agar ibunya menerima hidayah.
  • Ibunya, Maimunah, 75, akhirnya memeluk Islam baru-baru ini.
  • Detik pengislaman tular di media sosial.
  • Pengislaman berlaku dalam suasana penuh emosi dan ketenangan.
  • Hidayah datang ketika ibu diuji dengan masalah kesihatan.
  • Anak memberanikan diri mengajak ibu memeluk Islam.
  • Keputusan ibu tidak mengejutkan kerana telah lama melihat kehidupan Islam anak dan menantu.
  • Maimunah kini dalam proses mempelajari asas agama.
  • Muhammad Mikhael dikenali di media sosial sebagai ‘Muka Gangster’.

Detik itu bukan sahaja mengalirkan air mata keluarga, malah turut menyentuh perasaan ramai apabila video pengislamannya tular di media sosial.

"Setiap kali solat, saya berdoa diam-diam. Di hadapan Kaabah, saya merayu bersungguh-sungguh agar Allah berikan hidayah kepada emak. Saya tak sangka doa itu akhirnya dimakbulkan," kata Mikhael.

"Sekarang hidup saya rasa lebih lengkap. Tiada lagi kekurangan. Emak sudah bersama saya dalam agama ini," ujarnya.

Mikhael berkata, ibunya mula tersentuh hati ketika diuji dengan sakit baru-baru ini, hingga sempat bergurau mengenai kematian. Namun di sebalik kata-kata ringan itu, ada ruang yang terbuka untuk menerima ajakan lembut anaknya.

"Saya cuma cakap, ‘emak, jom ikut saya.’ Dan dia terus setuju. Masa itu saya rasa dada saya bergetar. Saya terus hubungi Ustaz Hafiz Ng untuk bantu uruskan pengislaman emak," katanya.

Katanya lagi, keputusan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ibunya sudah lama memerhati perubahan hidupnya dan isteri, Murni Azwa, 31, terutama selepas mereka pulang menunaikan umrah tahun lalu.

"Emak tinggal bersebelahan rumah kami. Dia selalu ikut ke masjid, ke majlis agama, tengok kami berpuasa. Dia nampak ketenangan itu," katanya.

Bagi Maimunah, perjalanan hidayahnya bukan sesuatu yang dipaksa, tetapi hadir dengan keikhlasan.

"Saya lihat hidup mereka bahagia dan tenang. Saya pun sudah tua. Saya rasa inilah jalan yang lama saya cari. Sekarang hati saya lebih tenang," katanya perlahan.

Untuk makluman, Mikhael dikenali ramai di media sosial sebagai ‘Muka Gangster’, namun di sebalik perwatakan tegas dan garangnya, hubungan kasih dengan ibunya sering mencuri perhatian kerana penuh kelembutan, hormat dan humor.

Kali ini, watak ‘gangster’ itu tunduk dalam sujud penuh syukur. - Sumber asal: MyMetro