Klang: Seorang lelaki ditembak di sebuah stesen minyak dekat Bukit Tinggi, Klang, malam tadi.

Tangkap layar video tular insiden tembakan di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, malam tadi.
Mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai cedera di bahagian perut dan dada dalam kejadian kira-kira 11.30 malam.
Difahamkan, mangsa turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau kini dirawat di sebuah hospital, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Klang Selatan, Ramli Kasa, berkata siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
Katanya, kenyataan akhbar berhubung kejadian akan dikeluarkan ketua polis Selangor dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan mangsa tembakan adalah seorang lelaki tempatan.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 11.13 malam tadi dan siasatan mendapati lelaki ditembak adalah warga tempatan berumur 34 tahun yang tidak bekerja.
"Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai bertindak melepaskan beberapa das tembakan pada bahagian hadapan kereta dan terkena bahagian badan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif masih dalam siasatan," katanya.
Saksi kejadian atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222.
Sumber: Sinar Harian