Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

TikTok diminta beri penjelasan kes rekrut individu seludup dadah melalui pesawat

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meminta penjelasan rasmi daripada pihak TikTok berhubung dakwaan bahawa platform tersebut digunakan untuk merekrut individu bagi kegiatan penyeludupan dadah ke luar negara.

TikTok diminta beri penjelasan kes rekrut individu seludup dadah melalui pesawat

Menurut MCMC, penjelasan itu merangkumi bagaimana TikTok menjalankan proses pemantauan serta penguatkuasaan dalaman terhadap kandungan atau iklan yang disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah, termasuk tawaran pekerjaan palsu yang boleh menipu pengguna.

“Menyalahgunakan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya individu demi tujuan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Selain itu, Seksyen 263(1) turut menetapkan bahawa setiap pemegang lesen bertanggungjawab mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalan mereka tidak digunakan untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang di Malaysia,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan mengenai satu sindiket yang dipercayai memperdaya beberapa individu untuk menyeludup dadah jenis ganja seberat 68 kilogram bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom, melalui tawaran pekerjaan yang diiklankan di TikTok.

Namun, cubaan tersebut berjaya digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, memaklumkan bahawa cubaan itu dilakukan oleh dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an dari Johor. Perkara tersebut terbongkar selepas bagasi milik salah seorang daripada mereka diimbas semula oleh pihak syarikat penerbangan, susulan mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.