Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Sindiket proses dan jual air ketum tumpas selepas serbuan di tiga rumah teres

SEPANG: Sembilan individu termasuk sepasang suami isteri warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket memproses serta mengedar air ketum dalam serbuan di tiga rumah teres dua tingkat di Putra Perdana, Puchong, pada Isnin lalu.

Rampasan Air Ketum
Sindiket terbabit menyasarkan penjualan air ketum untuk pasaran sekitar Subang Jaya, Puchong dan Putra Perdana yang dijual pada harga RM20 sebotol dan RM40 bagi daun ketum, kata polis. (Gambar Bernama)

Kumpulan suspek itu terdiri daripada tujuh lelaki tempatan bersama pasangan warga Indonesia, berumur antara 30 hingga 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya menyerbu ketiga-tiga premis tersebut sebelum menemui 240 kilogram (kg) daun ketum, 152 botol air ketum dan wang tunai berjumlah RM12,325.

Beliau berkata, polis turut merampas dua set dapur, beberapa periuk, tong gas, botol plastik serta alat penimbang yang dipercayai digunakan untuk memproses minuman berkenaan.

Ringkasan AI:
  • 9 suspek ditahan termasuk pasangan warga Indonesia.
  • Serbuan dibuat di tiga rumah teres di Putra Perdana.
  • Rampasan: 240kg daun ketum, 152 botol air ketum & RM12,325.
  • Turut dirampas peralatan memproses air ketum.
  • Dua suspek positif syabu dan ganja.
  • Dua suspek ada rekod jenayah berkaitan dadah.
  • Sindiket beroperasi hampir dua bulan, pasaran sekitar Puchong & Subang Jaya.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Daripada sembilan suspek yang ditahan, dua daripadanya didapati positif dadah jenis syabu dan ganja, manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Menurut beliau, risikan terhadap kegiatan penjualan air ketum itu dijalankan selama hampir tiga minggu, dengan operasi sindiket difahamkan telah berjalan sejak hampir dua bulan lalu. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM25,000.

Tambahnya lagi, sindiket tersebut dipercayai menyasarkan pasaran sekitar Subang Jaya, Puchong dan Putra Perdana, dengan air ketum dijual pada harga RM20 sebotol manakala daun ketum dijual pada kadar RM40.

“Hasil siasatan menunjukkan daun ketum dibawa dari Hilir Perak menggunakan kenderaan perdagangan. Rampasan ini merupakan yang terbesar direkodkan setakat tahun ini.

Lima suspek kini direman sehingga Sabtu ini, manakala empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - Bernama